Umat Akhir Zaman
09 January 2014
Kita Umat Yang Special, Umat Akhir Zaman
- "Rasulullah merindui umat akhir zaman" .....****
Suasana
di majlis pertemuan itu hening sejenak. Semua yang hadir diam membatu.
Mereka seperti sedang memikirkan sesuatu. Lebih-lebih lagi Saidina Abu
Bakar. Itulah pertama kali dia mendengar orang yang sangat dikasihi
melafazkan pengakuan demikian.
Seulas senyuman yang sedia terukir
dibibirnya pun terungkai. Wajahnya yang tenang berubah warna. "Apakah
maksudmu berkata demikian wahai Rasulullah? Bukankah kami ini
saudara-saudaramu? " Saidina Abu Bakar bertanya melepaskan gumpalan
teka-teki yang mula menyerabut fikiran.
"Tidak, wahai Abu Bakar.
Kamu semua adalah sahabat-sahabatku tetapi bukan saudara-saudaraku
(ikhwan)," suara Rasulullah bernada rendah.
"Kami juga ikhwanmu,
wahai Rasulullah," kata seorang sahabat yang lain pula. Rasulullah
menggeleng-gelangkan kepalanya perlahan-lahan sambil tersenyum. Kemudian
baginda bersuara:
"Saudaraku ialah mereka yang belum pernah
melihatku tetapi mereka beriman denganku sebagai Rasul Allah dan mereka
sangat mencintaiku. Malahan kecintaan mereka kepadaku melebihi cinta
mereka kepada anak-anak dan orang tua mereka."
Pada ketika yang
lain pula, Rasulullah menceritakan tentang keimanan ‘ikhwan’ baginda:
"Siapakah yang paling ajaib imannya?" tanya Rasulullah.
"Malaikat," jawab sahabat.
"Bagaimana
para malaikat tidak beriman kepada Allah, sedangkan mereka sentiasa
hampir dengan Allah," jelas Rasulullah. Para sahabat terdiam seketika.
Kemudian mereka berkata lagi, " Para nabi."
"Bagaimana para nabi tidak beriman, sedangkan wahyu diturunkan kepada mereka."
"Mungkin kami," celah seorang sahabat.
"Bagaimana kamu tidak beriman, sedangkan aku berada ditengah-tengah kamu," pintas Rasulullah menyangkal hujah sahabatnya itu.
"Kalau begitu, hanya Allah dan Rasul-Nya sahaja yang lebih mengetahui," jawab seorang sahabat lagi, mengakui kelemahan mereka.
"Kalau
kamu ingin tahu siapa mereka? Mereka ialah umatku yang hidup
selepasku. Mereka membaca Al Quran dan beriman dengan semua isinya.
Berbahagialah orang yang dapat berjumpa dan beriman denganku. Dan tujuh
kali lebih berbahagia orang yang beriman denganku tetapi tidak pernah
berjumpa denganku," jelas Rasulullah.
"Aku sungguh rindu hendak
bertemu dengan mereka," ucap Rasulullah lagi setelah seketika membisu.
Ada berbaur kesayuan pada ucapannya itu.
Begitulah nilaian
Tuhan. Bukan jarak dan masa yang menjadi ukuran. Bukan bertemu wajah
itu syarat untuk membuahkan cinta yang suci. Pengorbanan dan
kesungguhan untuk mendambakan diri menjadi kekasih kepada kekasih-Nya
itu, diukur pada hati dan buktikan dengan kesungguhan beramal dengan
Sunnahnya.
Pada kita yang bersungguh-sungguh mahu menjadi
kekasih kepada kekasih Allah itu, wajarlah bagi kita untuk mengikis
cinta-cinta yang lain. Cinta yang dapat merenggangkan hubungan hati
kita dengan baginda Rasulullah.
Selawat & salam buat
junjungan mulia Rasulullah.s.a.w..."Berselawatlah untukku satu kali,
maka Allah akan berselawat untuk nya 10 kali” hadis riwayat
muslim(1/288, no.384)
Sabda Nabi SAW “ Dari Ibnu Mas’ud r.a.
bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : Orang yang terdekat denganku pada
hari kiamat ialah orang yang paling banyak berselawat kepadaku.” (Hadis
Riwayat At-Tarmidzi)
Sabda Nabi SAW : “ Dari Abu Hurairah r.a
berkata : Rasulullah s.a.w bersabda : Janganlah kamu jadikan kuburku
sebagai tempat perayaan dan berselawatlah kepadaku , maka sesungguhnya
bacaan selawatmu itu akan sampai kepadaku dimana sahaja kamu berada .“
(Hadis Riwayat Abu Daud)
Ketika berjumpa sahabat handai atau
saudara mara sesama Islam . Sabda Nabi s.a.w : “ Tiadalah dua hamba yang
saling cinta mencintai kerana Allah yang berjumpa salah seorang yang
lain lalu berjabat tangan ( bersalam ) dan berselawat kepada Nabi s.a.w .
melainkan Allah mengampuni dosanya sebelum mereka berpisah , baik yang
telah lalu ataupun yang akan datang.“ (Hadis riwayat Ibnu Sunni)
Ketika
akan memulakan sesuatu pekerjaan yang baik atau penting . Sabda Nabi
s.a.w : “ Setiap pekerjaan yang baik yang tidak dimulai dengan hamdalah
(memuji Allah) dan selawat , maka pekerjaan atau urusan itu terputus
dan hilang barkahnya.“ (Hadis Riwayat Ar-Rahawi)
Ketika
mendengar orang menyebut nama Nabi s.a.w . Sabda Nabi s.a.w : “ orang
yang bakhil itu adalah orang yang tidak mahu berselawat ketika orang
menyebut namaku di sisinya.“ (Hadis Riwayat At-Tirmidzi)
Ketika
telinga berdengung . Sabda Nabi s.a.w : “ Jika telinga salah seorang
dari kamu berdengung , maka hendaklah ia mengingati dan berselawat
kepadaku.“ (Hadis Riwayat Ibnu Sunni)
Ketika mengalami kesusahan
dan kebimbangan. Diberitakan oleh Ubay bin Kaab r.a. bahawa seorang
lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w, ujurnya : “ Ya Rasulullah
bagaimana pendapat engkau sekiranya aku jadikan selawat untuk engkau
semua? Jawap Rasulullah s.a.w “ Kalau demikian Allah akan memelihara
engkau baik mengenai dunia mahu pun mengenai akhiratmu.“ (Hadis Riwayat
Ahmad)
Setiap waktu pagi dan petang . Sabda Nabi s.a.w : “
Barang siapa berselawat kepadaku waktu pagi sepuluh kali dan waktu
petang sepuluh kali , maka ia akan mendapat syafaatku di hari kiamat.“
(Hadis Riwayat Thabarani)
Berdasarkan dari hadis-hadis diatas,
jelas bahawa membaca selawat kepada Nabi s.a.w adalah suatu dari
rangkaian iman dan ibadah yang wajib disempurnakan oleh kaum Muslimin
dengan penuh kesungguhan dan keikhlasan. Semoga dengan sentiasa
berselawat ke atas Nabi, Allah akan memberi rahmat dan keberkatan dalam
kehidupan kaum Muslimin.
Fadilat Selawat - untuk renungan
Rasulullah
SAW telah bersabda bahawa, "Malaikat Jibril, Mikail, Israfil dan
Izrail A.S. telah berkata kepadaku. Berkata Jibril A.S. : "Wahai
Rasulullah, barang siapa yang membaca selawat ke atasmu tiap-tiap hari
sebanyak sepuluh kali, maka akan saya bimbing tangannya dan akan saya
bawa dia melintasi titian seperti kilat menyambar."
Berkata pula Mikail A.S. : "Mereka yang berselawat ke atas kamu akan aku beri mereka itu minum dari telagamu."
Berkata
pula Israfil A.S. : "Mereka yang berselawat kepadamu akan aku sujud
kepada Allah S.W.T dan aku tidak akan mengangkat kepalaku sehingga Allah
S.W.T mengampuni orang itu."
Malaikat Izrail A.S pula berkata :
"Bagi mereka yang berselawat ke atasmu, akan aku cabut ruh mereka itu
dengan selembut-lembutnya seperti aku mencabut ruh para nabi-nabi."
Apakah
kita tidak cinta kepada Rasulullah S.A.W.? Para malaikat memberikan
jaminan masing-masing untuk orang-orang yang berselawat ke atas
Rasulullah S.A.W.
Ayuh jangan kita melepaskan peluang untuk
berselawat ke atas junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W. Mudah-mudahan
kita menjadi orang-orang kesayangan Allah, Rasul dan para malaikat.
Amin Ya Rabbal Alamin.
Bagus banget , subhanallah
BalasHapus